Terlebih dahulu aku nak mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin terutama kepada isteri tercinta, ibu bapa, keluarga, keluarga mertua, rakan-rakan, dan semua umat islam yang menyambutnya.
Apabila tibanya hari raya aku pasti akan teringatkan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku semasa zaman kanak-kanak dahulu. Jika dibandingkan dengan suasana pada masa kini sungguh berlainan sekali. Pada masa dahulu kanak-kanak akan pergi beraya ke seluruh kampung. Walaupun tujuannya adalah untuk mengutip duit raya tapi sekurang-kurangnya penduduk kampung akan mengenali kita. Pada masa kini apa yang aku dapat lihat kanak-kanak lebih suka duduk di rumah sambil menonton tv ataupun bermain PS2. Kadang-kadang sampai saudara-mara sendiri pun tak kenal.

Pada waktu malamnya pula aktiviti yang digemari oleh kanak-kanak adalah bermain bunga api/mercun. Masa aku budak-budak dahulu mercun ni dijual di rumah orang.Dari mana dia dapat stok aku tak tau la. Tapi memang banyak dan pelbagai jenis yang dijual. Mercun katak, tunder klet dan mercun mancis antara yang menduduki carta mercun pada hari raya. Bila di kampung budak-budak x main mercun. Dorang menjadi semakin kreatif. Maka terciptalah meriam buluh dan meriam tin. Peralatan yang diperlukan untuk main meriam buluh ni adalah buluh atau tin, kabaid, lilin dan mancis. Permainan ini lebih menjimatkan tetapi sangat bahaya.
Masa yang paling ditunggu-tunggu oleh budak-budak adalah pada malam pengumuman hari raya. Semua mata tertumpu pada kaca tv untuk mendengar pengumuman daripada penyimpan mohor besar raja-raja. Yang menariknya intonasi pengumuman tidak pernah berubah semenjak aku kecil sampai la besar. Selepas pengumuman itu budak-budak akan bermain di luar rumah manakala golongan ibu akan menyiapkan juadah untuk hari raya.
Dan bila tiba saje perayaan hari raya pasti akan terdengar berita kanak-kanak terputus jari bermain mercun buatan sendiri, kemalangan maut semasa pulang beraya. Jika 2 berita ini telah didengari bermakna hari raya hampir tiba. Setiap tahun pasti berita-berita ini akan menghiasi dada-dada akhbar. Walaupun pihak polis telah melancarkan ops sikap tetapi kemalangan jalan raya tetap bertambah dari tahun kesetahun.
Perkara yang semakin dilupakan oleh orang zaman sekarang adalah kad raya. Dengan teknologi yang semakin canggih kad raya semakin dilupakan. Jika dahulu kakak aku akan bersaing siapa yang mendapat kad raya paling banyak.Kiranya sape yang paling banyak dapat kad raya dia paling famous la.Kad raya yang diperoleh itu akan digantung dirumah sebagai salah satu dekorasi musim perayaan.Mungkin Eric Leong(deko bersama Eric) pun tak terfikir nak buat dekorasi macam tu.
Posman pun dah kurang kerja sekarang.Kalau tak dorang la yang paling sibuk bekerja. Sampaikan orang dah mula bercuti dorang ni keje lagi semata-mata nak antar kad raya.
Walaupun hari raya seharusnya diraikan dengan kegembiraan tetapi pada tahun ini raya disambut dengan berita yang menyedihkan. Berita-berita mengenai kemalangan jalan raya, kemalangan akibat bermain mercun ditenggelamkan dengan berita pembunuhan kejam Dato' Sosilawati bersama 3 orang individu lain di sebuah ladang. Berita itu telah menggemparkan seluruh negara kerana tergolong dalam pembunuhan kejam sebaris dengan kes Mona Fendi. Ini sekaligus telah menyebabkan anggota-anggota polis tidak dapat beraya kerana perlu menyelesaikan kes itu dengan segera.
Walaubagaimanapun aku tetap gembira kerana dapat beraya bersama-sama keluarga tercinta.Didalam kita bergembira jangan dilupa mereka yang telah tiada. Kunjungilah pusara mereka sebagai tanda ingatan dan peringatan kepada kita bahawa kita semua akan menghadapinya suatu hari nanti.


0 ulasan:
Catat Ulasan